KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah untuk menerapkan nilai murni kepada pelajar dalam menangani gejala sosial.
Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata subjek ini berupaya menjana modal insan seperti dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berdaya saing serta berfikiran matang. Ia satu resolusi seminar Kesusasteraan Melayu dalam Pendidikan. NUTP akan membentangkan resolusi seminar itu kepada Kementerian Pelajaran secepat mungkin.
Dalam pada itu, Dr Lim Swee Tin selaku Penyelaras Memorandum Seminar Kesusasteraan Melayu dalam Pendidikan berharap kerajaan memastikan pemilihan karya yang akan dijadikan teks pembelajaran Kesusasteraan Melayu kelak menggunakan karya ciptaan Sasterawan Negara dan penerima S.E.A Write Award.
“Dalam resolusi ini, kami turut mencadangkan Kesusasteraan Melayu dijadikan mata pelajaran elektif (pilihan) kepada semua pelajar sekolah menengah mulai Tingkatan Satu lagi. Pada awalnya, kami mahu subjek ini diajar kepada murid sekolah rendah tetapi mungkin timbul kerumitan kepada kerajaan melaksanakannya.
“Kokurikulum Kesusasteraan Melayu perlu memasukkan unsur sastera daripada pelbagai etnik seperti suku kaum Sabah dan Sarawak serta etnik lain kerana jalan ceritanya lebih menarik dan tidak ramai yang mengetahuinya.”
Dipetik dari laman web MyschoolNet.
Para pembaca yang dihormati, anda diberi peluang untuk memberi sedikit pandangan dan
komen tentang isu Kesusasteraan Melayu yang dipaparkan.
Sekian terima kasih.